3 Julai 2015

Hari ini, 14 tahun yang lalu, seorang lelaki hebat yang diberi nama Mohamad bin Wahid telah menerima saya atas nama Allāh sebagai isteri keduanya dengan mahar 3× lafaz al-Ikhlas. Pada 27 Mei 2015 yang lalu, beliau telah pulang menemui penciptanya atas diagnosis kegagalan hati.


Abang,

Hanya Allāh Yang Maha Mengetahui betapa Ummie sangat bersyukur kerana diberi peluang menjadi isteri abang, walaupun bukan sebagai isteri yang baik. Sangat jauh daripada baik. Dengan segala kekurangan yang Ummie miliki, abang terima Ummie seadanya. Abang jaga Ummie dengan sebaik-baiknya. Walaupun dengan beza usia yang agak jauh, 10 tahun, dengan mentaliti kita yang sedikit berbeza, dengan latar belakang yang tidak sama, Alhamdulillāh, kita berjaya menempuh alam perkahwinan dan kekeluargaan dengan penuh kasih sayang yang Allāh kurniakan. Kadang-kadang Ummie rasa CD4 abang jatuh teruk sebab seksanya abang meladeni segala kepelikan Ummie...




Abang,

Terima kasih kerana telah memberikan pelbagai pengalaman yang berwarna-warni di dalam hidup Ummie. Paling utama, terima kasih kerana telah mendidik Ummie dengan pelbagai ilmu hidup duniawi dan ukhrawi. Terima kasih kerana telah menunjukkan Ummie apa yang salah, dan apa yang betul. Terima kasih kerana telah menghargai segala yang betul yang Ummie lakukan dan menegur segala yang salah yang Ummie lakukan, dengan penuh kasih sayang dan tanggungjawab.


Abang,

Pemergian abang telah memberikan impak yang sangat besar dalam hidup Ummie. Sangat besar sehingga Ummie tertanya-tanya sama ada Ummie mampu hidup kuat seperti dulu atau tidak. Ummie tak pasti sebenarnya mampu atau tidak untuk terus tinggal di rumah kita ini. Memori bersama-sama abang terlalu banyak dan pekat di dalamnya.

Jika diikutkan hati yang lara, memang Ummie tak mau lagi tinggal di rumah kita ini. Malah, Ummie rasa tak mampu lagi hidup di Temerloh! Setiap kali berurusan di bandar, susuk tubuh abang akan tergambar di ruang mata. Ummie rasa tak mampu berada di mana-mana tempat yang pernah Ummie ada dengan abang. Perlis! Itu yang terfikir di minda untuk Ummie bawa diri. Kita tak pernah ke sana. Jadi tiada sebarang memori abang di sana...

Tapi, Ummie mahu kuat seperti yang abang sentiasa ajar. Hidup mati, ajal maut, jodoh, rezeki, semuanya sudah ditulis. Jadilah hamba yang patuh kepada sunnatullāh. In shā Allāh abang, Ummie akan kuat, demi abang, demi Allāh.


Abang,

Bulan Mei 2015, bulan terakhir hayat abang adalah waktu yang paling sukar buat Ummie. Sudah tentu paling sukar buat abang dan keluarga kita. 2 Mei 2015, abang agak sihat walaupun sebelum itu abang sudah pun mengadu sakit perut yang teramat sangat. Kita sama-sama menganggap ianya hanyalah masalah ‘tuju angin’ atau gastrik yang terlampau.

2 Mei 2015, kita sama-sama sudah bersedia untuk AGM PPWM kita yang kedua. Usai sarapan, abang collapsed! Abang sakit yang teramat sangat. Abang memang tak mampu bangun langsung. Kami terpaksa meneruskan AGM tanpa abang. Tetap juga PPWM melantik abang sebagai Presiden. Masing-masing tidak mahu orang lain mengetuai PPWM. Tetapi, perancangan Allāh lain...

Keadaan abang makin lama makin serius. Daripada solat dalam keadaan duduk, abang hanya mampu solat dalam keadaan berbaring. Allāhu Rabbi… hanya Allāh yang tahu betapa luluhnya hati Ummie melihat keadaan abang. Abang yang Ummie kenal kuat dan kental semangat juang, akhirnya terpaksa akur dengan ketentuan Allāh, jatuh sakit dan tidak mampu lagi meneruskan kehidupan sebagaimana biasa.

Science failed you, my love. Laporan hospital dan kesimpulan doktor sama-sama kita fahami: tiada apa yang teknologi perubatan masa kini yang dapat menyembuhkan abang. Pun begitu, abang tetap patuh kepada rawatan yang masih diusahakan oleh pihak perawat. Kita sama-sama tau tiada harapan untuk abang dirawat. CD4 abang rendah, tak mampu menampung rawatan yang sepatutnya.

Tetapi keluarga kita telah abang didik untuk sentiasa bersangka baik dengan Allāh, sentiasa berfikiran positif. Emosi dan fikiran Ummie sangat bercelaru sepanjang abang sakit. Walaupun sedar tiada harapan sembuh, tapi Ummie tetap mengharap Allāh beri kesembuhan kepada abang. Terlalu banyak didikan dan peringatan yang Ummie masih harapkan daripada abang. Terlalu banyak pengharapan dan sokongan yang diperlukan oleh komuniti daripada abang. Allāhu Rabbi, doa Ummie selalu supaya Allāh sembuhkan abang.

Abang tak suka sedih-sedih, melancholic. Life memang ada sunnatullāh. Kita hanya hamba. Jika Allāh sudah rencanakan sekian sekian keadaan, siapa kita untuk menentang atau tidak menerima? Abang didik kami supaya menjadi hamba Allāh yang redha dengan ketentuan Allāh selepas berusaha dan berikhtiar.

Sebab itulah, walaupun abang sendiri tau keadaan abang yang tidak dapat dirawat, tiada harapan sembuh, tetap juga abang cuba ikut saranan saudara-mara dan sahabat handai yang mencadangkan bermacam-macam complementary treatments dan supplement food. Tetap juga abang minta Ummie dan Kak Da bawa abang ke hospital.


Abang,

Sejak abang didiagnos positif HIV sejak Disember 2010, abang sentiasa positif tentang kematian. Bukan kerana HIV. Tetapi kerana sel darah abang yang tidak normal. Doktor menasihatkan abang supaya buat semula prosedur bone marrow biopsy untuk kenal pasti sebab ketidaknormalan itu. Tetapi, pengalaman prosedur itu yang pernah abang lalui terlalu memeritkan untuk abang.

Allāhyarhamah mak pun tak setuju. Kita sekeluarga pun agak kurang bersetuju. Apa lagi abang yang pernah melaluinya dengan tiga tebukan yang gagal! Abang sendiri sudah buat keputusan untuk menolak prosedur itu dan mahu menghabiskan sisa hayat yang ada dengan keluarga kita dan berbakti untuk komuniti.




Sejak itulah bermacam-macam nasihat dan pesanan abang berikan kepada kita sekeluarga. Bermacam-macam wasiat yang abang sudah tinggalkan. Abang tetap positif bahawa hidup dan mati tak dapat dijangka. Itulah pun yang abang sentiasa ingatkan semua orang. Mati itu pasti dan tidak mengenal siapa.


Abang,

Bulan terakhir hayat abang, lebih kerap abang tinggalkan pesan. Malah abang minta Kak Da catatkan segala pesanan itu supaya tidak lupa. Luluh rasa hati Ummie, hanya Allāh yang tau. Tapi Ummie kuatkan juga hati di hadapan abang. Setiap kali bersendirian, Ummie menangis. Setiap kali memandu seorang, Ummie menangis. Setiap kali berdoa, Ummie menangis. Menangis semahu-mahunya memohon supaya Allāh sembuhkan abang.


Abang,

Pesanan abang kami laksanakan ikut kemampuan kami.

Abang telah bersetuju untuk dikebumikan di Temerloh. Alhamdulillāh, telah terlaksana.

Abang mahu anak-anak uruskan jenazah abang; mandikan, kafankan. Alhamdulillāh, telah terlaksana.

Abang mahu dimandikan di hospital jika abang meninggal di hospital. Alhamdulillāh, telah terlaksana.

Abang mahu Harith imamkan solat jenazah abang. Alhamdulillāh, telah terlaksana.

Abang mahu jenazah abang dikebumikan sesegera mungkin. Alhamdulillāh, telah terlaksana.

Abang mahu anak-anak sambut jenazah abang dari liang lahad. Alhamdulillāh, telah terlaksana.

Abang tidak mahu ditalkinkan. Alhamdulillāh, telah terlaksana.

Abang hanya mahu dibacakan doa selepas dikebumikan yang diketuai oleh Harith. Alhamdulillāh, telah terlaksana.

Abang tidak mahu diadakan jamuan tahlil sebagaimana biasa dilakukan oleh kebanyakan masyarakat hari ini. Alhamdulillāh, telah terlaksana.


Abang,

Minggu terakhir hayat abang, abang beritahu Ummie, abang dah didik apa yang perlu untuk Ummie. Abang dah berikan semua nasihat dan pesanan yang sepatutnya untuk Ummie. Abang dah berikan segala asuhan untuk Ummie. Abang harap Ummie dapat buat apa yang abang didik. Luluhnya hati mendengar ayat-ayat abang, hanya Allāh yang tahu.  Betapa abang seolah-olah tahu hayat abang sudah di penghujung.

Abang minta maaf pada Ummie dan Kak Da, sebab tak tinggalkan apa-apa harta untuk kami. Abang… sebenarnya abang dah berikan segala-galanya yang hebat kepada kami. Abang tinggalkan kasih sayang yang sangat hebat untuk kami. Abang tinggalkan memori indah dan manis untuk kami abadikan di ingatan. Abang tinggalkan ilmu didikan dunia dan akhirat untuk kami. Abang tinggalkan komuniti untuk kami. Abang tinggalkan peluang untuk menanam saham akhirat dengan berbakti kepada komuniti untuk kami.


Abang,

Perancangan Allāh itu hebat. Abang sudah siap menyediakan rumah kita selepas banjir tahun lepas. Segala kerosakan telah abang usahakan untuk perbaiki. Segala yang musnah telah abang usahakan untuk adakan. Abang hanya sempat menikmatinya seketika cuma. Abang sudah sediakan keselesaan untuk keluarga kita.

Abang siapkan juga pusat komuniti untuk kegunaan komuniti yang abang sayangi. Premis sederhana yang lengkap dengan keperluan asas telah abang sediakan. Bantuan daripada pihak JAKIM dan MAC telah siap abang usahakan. Penambah baikan pusat komuniti telah abang pesan untuk kami lengkapkan.






Abang,

Lebih setahun abang usahakan sesungguh hati menyiapkan pusat komuniti itu. Di hujung hayat abang telah siap dan lengkap pusat komuniti impian abang. Hampir seluruh harta abang telah abang infaqkan untuk pusat komuniti itu. Hampir seluruh fokus abang telah abang curahkan untuk pembinaan pusat komuniti itu. Tetapi abang tidak sempat pun menggunakannya. Beberapa jam sebelum AGM, abang jatuh sakit yang membawa kepada pemergian abang buat selama-lamanya.


Abang,

Imej-imej abang pada hari terakhir hayat abang dengan mudah membuatkan Ummie mengalirkan air mata setiap kali Ummie mengenangkannya tatkala bersendirian. Imej-imej itu Ummie tak mau kenang sebab terlalu memilukan, terlalu menghancurkan hati Ummie…

Pagi itu Ummie dan Kak Da menghantar abang ke Hospital Kuantan. Kak Da memandu. Abang berbaring di seat penumpang hadapan. Abang sangat tenang. Ummie tak tahu adakah abang lena atau sekadar berbaring senyap. Abang tak banyak cakap.

Tiba di hospital, Ummie sorong abang dengan wheelchair untuk bertemu doktor sementara kakak pergi mencari parking spot. Alhamdulillāh, segala urusan dipermudahkan hasil bantuan doktor kesayangan abang, Dr. Iskandar Firzada bin Osman. Abang terus dipanggil masuk oleh Dr. Tee. Terus juga Dr. Tee menguruskan abang untuk masuk ke wad.

Abang ditempatkan di katil hujung yang sangat jauh dari tandas. Selepas ke tandas, abang rasa sangat-sangat sakit dan mula sesak nafas. Bantuan oksigen diberikan, tetapi abang tetap tak selesa. Abang dipindahkan ke katil di bahagian tengah wad. Keadaan abang semakin teruk. Duduk tak selesa. Baring tak selesa. Di katil tak selesa. Di kerusi tak selesa. Abang bersandar pada Kak Da yang kemudiannya duduk di atas katil.

Demi Allāh, hati Ummie langsung tak tenang. Keadaan abang yang seperti itu tak pernah Ummie saksikan. Azabnya abang menanggung kesakitan. Doktor tak dapat nak tumpukan perhatian kepada abang kerana ramai lagi pesakit yang menuntut perhatian. Sehinggalah tiba seorang doktor yang agak senior dan melihat keadaan abang yang sangat teruk, mengarahkan supaya abang dipindahkan ke katil yang paling dekat dengan kaunter jururawat. “He looks bad lah!” Hati isteri mana yang tak luluh mendengar ulasan itu?

Keadaan abang tidak berubah. Malah semakin teruk. Seorang demi seorang doktor datang melihat abang sehinggalah 6 – 7 orang doktor dan jururawat datang mengerumuni abang, baik yang senior, junior, mahupun pelatih. Pelbagai usaha dilakukan untuk merawat abang. Waktu Zohor dan Asar, kami bisikkan di telinga abang, beritahu abang waktu solat dah masuk. Itulah pun yang abang pesan sebelum Zohor.

Lebih kurang jam 4.30 petang, dalam keadaan kalut para doktor merawat abang, doktor senior tadi memanggil Ummie dan Kak Da ke koridor wad. Penerangan terperinci diterangkan kepada kami tentang keadaan abang yang sudah 50-50. Berhamburanlah air mata Ummie tanpa dapat ditahan lagi. Tapi Ummie kuatkan juga hati ini demi abang.

Ummie telefon anak-anak supaya datang ke hospital. Ummie telefon Midie supaya maklumkan keadaan abang kepada adik-beradik abang yang lain. Ummie hubungi juga abah dan MT & Exco PPWM. Kak Da yang masih jadi tempat abang bersandar sudah mula membisikkan ‘Allāh’ tanpa henti di telinga abang, sebagaimana yang abang ajari kami semasa mak sakit tenat dulu dan yang abang pinta untuk kami lakukan jika keadaan abang telah masuk fasa kritikal.

Anak-anak tiba dan tak henti-henti membisikkan kalimah ‘Allāh’ di telinga abang. Beberapa orang saudara-mara juga datang membacakan Yāsin untuk abang. Tiba di peringkat terakhir iaitu menekan dada abang selepas tirai ditutup, hati Ummie hancur. Terhenti bacaan Yāsiin. Terhenti bacaan doa. Terhenti segalanya. Termenung Ummie memandang tirai yang bertutup.

Akhirnya, abang pergi juga. Abang tinggalkan Ummie. Abang tinggalkan Kak Da dan anak-anak. Abang tinggalkan komuniti. Abang tinggalkan sanak-saudara. Abang tinggalkan segala-galanya! Abang tinggalkan dunia ini. Abang pergi menghadap Allāh bersama-sama derita kesakitan yang abang tanggung selama lebih kurang sebulan. Allāh cuci dosa-dosa abang dengan kesakitan yang sangat azab abang lalui sebelum abang pulang menghadap Dia.


Abang,

Senda gurau abang akan sentiasa terpahat di ingatan. Mereka yang pernah abang hadiri hidup mereka akan merindui senda gurau abang. Tiada lagi usikan seperti dulu yang mewarnai kehidupan kami. Tiada lagi sakatan yang sentiasa mengukir senyuman dan gelak tawa. Tiada lagi...


Abang,

Semua yang mengenali abang sangat terkejut dengan pemergian abang. Ramai yang tak tahu derita sakit abang pada bulan terakhir abang tenat. Betapa abang tidak mahu menyusahkan semua orang, tidak mahu semua orang risau tentang keadaan abang.

Kami menangisi pemergian abang. Kami iringi jenazah abang hingga ke liang lahad.

Kami mendoakan ketenangan dan kedamaian ruh abang.

Ya Allāh. Kurniakan ketenangan dan kedamaian ke atas ruh suamiku dengan sepenuh kasih sayangmu. Kasihanilah dia. Ampunilah dia.


Abang,

Ramadhan 1436H terlalu awkward tanpa abang. Setiap pre-Ramadhan abang akan kumpulkan kita sekeluarga, revise tentang puasa dan ibadah Ramadhan. Setiap taraweh abang akan imamkan. Setiap tadarus abang akan lead. Abang betulkan bacaan kami dengan penuh kesabaran dan kasih sayang. Abang didik dan biasakan kita sekeluarga dengan kaedah iftar dan sahur yang diajar Rasulullah SAW. Abang bawa keluarga kita qiamullail di masjid.

Eid? Kosong. Kosong tanpa abang. Ummie tak tahu bagaimana nak survive takbir raya tanpa abang.


Abang,

You have been

And will alwiz be
The love of my life
The man of my world
The murabbi to my ignorance
The content of my heart
The icon of my existence
The image of my benevolence


You are my everything

And I am proud to be yours...

Terima kasih abang...
Beri Ummie sebuah perkahwinan yang hebat
Terima Ummie seadanya walaupun dengan segunung kelemahan Ummie
Ajar Ummie macam-macam tentang life
Ajar Ummie tentang priority akhirat
Bawa Ummie dan family kita menunaikan umrah
Bawa Ummie dan family kita jalan-jalan
Bawa Ummie dan family kita join aktiviti komuniti

Ya Allāh.

Himpunkan kami di dalam Jannah-Mu